Kata Aluan Pengerusi KARISMA

You are here:

Kata Aluan Pengerusi KARISMA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ

Semua Anggota Lembaga, para Perwakilan dan seluruh Anggota KARISMA yang dikasihi. Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan rahmatNya, sekali lagi Koperasi Anggota RISDA Malaysia Berhad (KARISMA) berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Yang Ke- 27 tahun 2023. Alhamdulillah dan Tahniah diucapkan kepada barisan Anggota Lembaga dan Kumpulan Pengurusan kerana telah berjaya mengadakan mesyuarat ini.
KARISMA pada prestasi tahun 2022 yang lepas telah mencatatkan sedikit penurunan pendapatan berbanding tahun 2021 namun ianya masih dilandasan yang agak baik. Penurunan kecil sekitar 11% berbanding tahun lepas adalah disebabkan peningkatan kos belanja mesyuarat sepertimana kebiasaan bagi setiap penggiliran dua tahun sekali. Kestabilan ini telah berjaya dikekalkan hasil usaha berterusan Pengurusan dan Anggota Lembaga didalam menempuh fasa pemulihan perniagaan selepas berdepan kekangan era pandemik dan situasi pasaran perniagaan masa kini. Inshaa Allah momentum ini akan diteruskan lagi bagi tahun-tahun akan datang dan segala usaha akan ditingkatkan lagi demi pencapaian yang terbaik untuk KARISMA.

Dari sudut keanggotaan pula, biarpun setiap tahun akan ada anggota yang bersara wajib, tamat perkhidmatan dan meninggal dunia, usaha menarik minat keanggotaan baharu masih lagi dijalankan melalui kempen-kempen keanggotaan di semua pusat tanggungjawab, ladang-ladang dan kilang milik RISDA serta program-program transformasi minda. Selain bagi mengimbangi jumlah keanggotaan KARISMA ianya juga turut diadakan bagi mendekatkan KARISMA dengan golongan generasi baharu RISDA. Sokongan daripada semua perwakilan dan anggota-anggota yang sedia amat-amat ditagih bagi memberi ruang dan kerjasama untuk KARISMA meneruskan kempen keanggotaan ini. Dengan usaha yang dibuat oleh pihak pengurusan di dalam menaik taraf sistem keanggotaan ada bertujuan untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada semua para anggota KARISMA. Oleh yang demikian, diharap dengan kerjasama serta muafakat kita secara berterusan ini akan menjadikan KARISMA lebih maju jaya dan cemerlang demi manfaat kita semua.

Sebagaimana yang telah menjadi teras utama kita bagi memastikan supaya KARISMA terus mengecap kestabilan dan kejayaan iaitu dengan mendokong usaha-usaha murni ini. Disamping itu juga, penglibatan semua adalah amat diperlukan demi meningkatkan urusniaga bersama KARISMA milik kita ini. Berpeganglah kepada prinsip penubuhan sesebuah koperasi itu sendiri iaitu “TUJUAN KOPERASI DITUBUHKAN ADALAH UNTUK BERURUSNIAGA BERSAMA-SAMA ANGGOTANYA BAGI MENDAPAT MANFAAT UNTUK KEDUA-DUA NYA”,

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat bermesyuarat kepada semua perwakilan. Jutaan terima kasih diucapkan dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada KARISMA selama ini khususnya kepada Ketua Pengarah RISDA YBhg Datuk Abdullah Bin Zainal, Mantan Pengerusi KARISMA Tuan Haji Sopian Bin Abu Bakar, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah, semua Pengarah-Pengarah RISDA Bahagian, Negeri, Daerah serta Kumpulan RISDA Holdings. Tidak lupa juga kepada semua Anggota-Anggota KARISMA yang dihormati. Syabas dan terima kasih yang tidak terhingga juga khusus kepada Kakitangan Pengurusan KARISMA yang berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali Ke-27 pada hari ini.

Ikhlas dari saya
En. Noor Azan Bin Mohd Noor