Kata Aluan Pengerusi KARISMA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
Semua Anggota Lembaga, para Perwakilan dan seluruh Anggota KARISMA yang dikasihi. Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan rahmatNya, sekali lagi Koperasi Anggota RISDA Malaysia Berhad (KARISMA) berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Yang Ke- 30 tahun 2026. Alhamdulillah dan Tahniah diucapkan kepada barisan Anggota Lembaga dan Kumpulan Pengurusan kerana telah berjaya mengadakan mesyuarat ini.
KARISMA pada prestasi tahun 2025 yang lepas telah mencatatkan sedikit peningkatan pendapatan yang lebih baik berbanding tahun 2024. Peningkatan sekitar 27.4% berbanding tahun lepas adalah hasil usaha semua pihak bagi membolehkan KARISMA memaksimakan hasilnya. Secara kasarnya juga jika kita nilai, KARISMA sebenarnya telah melepasi angka RM 1 juta pendapatan bersihnya namun faktor perbelanjaan seperti hasil pelupusan pelaburan lama dan faktor-faktor kecil lain telah sedikit memberi kesan dan menjadikan pendapatan tahun 2025 ini sidikit kurang daripada nilai tersebut. Namun kita yakin dan optimis, dengan kesungguhan dan kerjasama semua pihak yang terlibat ianya akan mampu kita capai pada tahun-tahun akan datang sepertimana yang pernah kita perolehi sebelum ini.
Tahun 2025 juga masih memberikan cabaran besar apabila keadaan pasaran perniagaan dan kewangan yang agak sederhana membabitkan banyak sektor perniagaan di Malaysia malahan di seluruh dunia. Walaubagaimanapun atas usaha keras yang telah diteruskan Alhamdulillah KARISMA mampu mencatatkan keuntungan bersih yang secara puratanya baik bagi membolehkan KARISMA terus memberi pulangan dividen kepada anggota-anggotanya. KARISMA berharap semoga tahun 2026 ini nanti akan berjalan dengan lancar dan menjadi lebih baik hasil usaha dan perancangan yang dilaksanakan.
InshaaAllah Dari sudut keanggotaan pula, biarpun setiap tahun akan ada anggota yang bersara wajib, tamat perkhidmatan dan meninggal dunia, usaha masih lagi dijalankan melalui kempen-kempen keanggotaan di semua pusat tanggungjawab, ladang-ladang dan kilang milik RISDA serta program-program transformasi minda. Namun, jumlah keanggotaan baharu bagi tahun 2025 sedikit menurun dan kurang daripada jumlah anggota bersara, berhenti dan meninggal telah dicatatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Justeru, sokongan daripada semua perwakilan dan anggota-anggota yang sedia amat-amat ditagih bagi memberi ruang dan kerjasama untuk KARISMA meneruskan kempen keanggotaan ini. Dengan usaha yang dibuat oleh pihak pengurusan di dalam menaik taraf sistem keanggotaan ada bertujuan untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada semua para anggota KARISMA. Oleh yang demikian, diharap dengan kerjasama serta muafakat kita secara berterusan ini akan menjadikan KARISMA lebih maju jaya dan cemerlang demi manfaat kita semua.
Sebagaimana yang sering menjadi teras utama kita yang telah menjejak usia 30 tahun ni dan bagi memastikan supaya KARISMA terus mengecap kestabilan dan kejayaan iaitu dengan mendokong usaha-usaha murni ini, penglibatan semua adalah amat diperlukan demi meningkatkan urusniaga bersama KARISMA milik kita ini. Berpeganglah kepada prinsip penubuhan sesebuah koperasi itu sendiri iaitu “TUJUAN KOPERASI DITUBUHKAN ADALAH UNTUK BERURUSNIAGA BERSAMA-SAMA ANGGOTANYA BAGI MENDAPAT MANFAAT UNTUK KEDUA-DUA NYA”,
Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat bermesyuarat kepada semua perwakilan. Jutaan terima kasih diucapkan dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada KARISMA selama ini khususnya kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selaku Badan Pemantau, Ketua Pengarah RISDA, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah, semua Pengarah-Pengarah RISDA Bahagian, Negeri, Daerah serta Kumpulan RISDA Holdings. Tidak lupa juga kepada semua Anggota-Anggota KARISMA yang dihormati. Syabas dan terima kasih yang tidak terhingga juga khusus kepada Kakitangan Pengurusan KARISMA yang berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali Ke-30 pada hari ini.
Ikhlas dari saya
HAJI NOOR AZAN BIN MOHD NOOR
PENGERUSI